Tuesday, January 22, 2013

Pertumbuhan data cabaran besar pengurusan IT


Meskipun ekonomi dunia diramalkan bergerak perlahan pada tahun ini, namun ledakan pertumbuhan data dijangka terus berlaku dan menjadi cabaran besar kepada pengurusan teknologi maklumat (IT) untuk menangani isu mengenai penyimpanan data.
Cakap-cakap mengenai simpanan data bersaiz besar sehingga tahap Exa­bytes kini sudah mula menjadi topik perbinca­ngan manakala Petabytes (PB) adalah perkara biasa bagi penyimpanan data besar. Perhatian pula akan diberikan kepada data kedua yang digerakkan oleh segmen penyalinan dan salinan semula (backup). 
Malah bagi sesebuah organisasi, kos pemilikan keseluruhan (TCO) membabitkan modal perbelanjaan (Capex) bagi pe­nyimpanan akan menjadi perubahan besar kerana kos operasi akan menurun tetapi kos modal pula me­nyaksikan kenaikan kerana didorong oleh beberapa jenis data meliputi pemacu perniagaan, manusia dan mesin yang dijangka meningkat daripada satu kali ganda kepada 100 kali ganda. 

Sehubungan itu, masalah yang diramal timbul dalam industri IT pada 2013 ialah isu penyimpanan data besar untuk menyokong pembangunan dan pertumbuhan perniagaan membabitkan pelbagai sek­tor kritikal khususnya sektor kewangan, telekomunikasi, kerajaan, media, perubatan serta industri minyak dan gas.

Hitachi Data Systems (HDS) yang menjadi antara peneraju simpanan data terkemuka dunia me­ngumumkan 10 trend yang akan berlaku dalam industri IT sepanjang 2013.

Perkara itu diumumkan oleh Naib Presiden dan Ketua Pegawai Teknologi HDS, Hubert Yoshida yang mempunyai pengalaman luas dalam industri storan kepada rombongan media mewakili negara di rantau Asia Pasifik di Singapura, baru-baru ini. 

Perkara pertama ialah perubahan dramatik dalam kos operasi (Opex) dan Capex kerana sejak 10 tahun lalu, jumlah keseluruhan kos penyimpanan mening­kat 7 peratus setahun khususnya kos operasi manakala kos bagi perkakasan terus kekal namun pada tahun depan, trend menyaksikan Capex akan meningkat bagi perkakasan disebabkan permintaan terhadap kapasiti simpanan. 

Penyimpanan secara maya mampu mengurang­kan kos simpanan daripada 20 hingga 50 peratus malah kos operasi dapat dijimat­kan sehingga 40 peratus. 

Faktor kedua pula me­nyaksikan sesebuah organisasi akan membeli apa yang diperlukan dan bila ia diperlu berbanding membeli kesemua penyimpanan hari ini serta melakukan penambahan Capex untuk tempoh empat hingga lima tahun akan datang. 

Perkara ketiga ialah pengurusan ledakan data replika akibat replikasi data yang tidak berubah dan keperluan untuk melakukan penyalinan semula data. 

Perkara keempat ialah pengenalan flash pengawal dengan ciri prosesor maju yang dibina khusus bagi sistem simpanan enterpris akan menyaksikan pengurangan penggunaan flash solid state drives (SSDs) disebabkan harganya yang mahal dan ketahanan terhad berbanding pemacu keras. 

Manakala keperluan baru bagi sistem kemasukan simpanan enterpris pula akan menyaksikan peningkatan penggunaan aplikasi seperti VMware dan VDI yang akan mengubah keperluan dalam sistem penyimpanan pertengahan. 

Perkara keenam pula membabitkan pertumbuhan data tidak berstruktur yang memerlukan sistem fail yang lebih besar bagi menguruskan sistem data fail serta metadata. Ini memerlukan sistem storan yang berupaya memberikan akses kepada sesuatu fail lebih pantas dan me­nyediakan sistem fail secara automasi. 

Perkara ketujuh yang turut digariskan Hu Yoshida ialah penstoran secara virtualisasi membolehkan aplikasi sumber penyimpanan meliputi bahan arkib dikongsi menerusi pelbagai aplikasi namun aplikasi data kekal dikunci dalam simpanan berbeza. 

Hitachi mempunyai penyelesaian kepada storan menerusi pelbagai plaform meliputi platform Hitachi NAS seperti HNAS 3080, HNAS 3090, HNAS 3100 dan HNAS 3200 membabit­kan kapasiti 4 PB hingga 16 PB. 

Perkara kelapan pula ialah pengawal storan akan dilengkapi dengan prosesor termaju dan bantuan perkakasan untuk me­ngendalikan pertambahan dalam kerja. Ini kerana pelbagai fungsi akan ­disimpan dalam storan membabitkan beratus aplikasi, beribu-beribu pelanggan dan berbilion objek yang memerlukan keupayaan kapasiti PB. 

Penggunaan telefon mudah alih mampu mening­katkan produktiviti dan inovasi tetapi turut memberikan ‘mimpi ngeri’ kepada pusat data korporat kerana pada 2013, keperluan untuk meningkatkan tahap keselamatan dalam perkongsian data akan menjadikan ancaman keselamatan lebih minimum kepada gajet mudah alih ini. 

Mengikut laporan iPass 2010 mengenai penggunaan gajet mudah alih, kakitangan yang mempunyai alat mudah alih bekerja lebih 240 jam setahun yang bersamaan dengan enam minggu kerja setahun bagi setiap kakitangan. 

Faktor terakhir ialah pada 2013 akan menyaksikan pertumbuhan platform komputer bersatu yang mana pengurusan perisian, storan dan sumber jaringan akan dijalankan menerusi panel tunggal.
-Petikan HMetro 15012013

No comments:

Post a Comment